Cinta itu milik 'Dia', bukan dia.

Bismillah.
Seringkali kita mendengar ada yang berkata,
"Aku cintakan dia. Sepenuh hati aku."
Cinta itu satu perkara yang tidak mudah untuk digambarkan. Mungkin benar kata sesetengah dari kita bahawa cinta itu jika ada, kita akan sanggup melakukan apa sahaja untuknya. Ya, ianya sangat benar.
Cuma mungkin salahnya kita ialah adakalanya kita terlampau asyik mengejar cinta si dia berbanding Dia yang lebih Agung iaitu Allah.
Cinta si dia itu cuma menawarkan keseronokan dunia, tetapi Cinta si Dia itu menawarkan keseronokan kehidupan akhirat. Kehidupan akhirat yang kekal berbanding kehidupan dunia yang akan hancur dan musnah binasa apabila sampai masanya.
Ada masanya, kita terlalu leka melaungkan rasa cinta kepada manusia, tetapi kita tidak memaknakan rasa cinta itu. Mana mungkin sang pencinta sanggup membinasakan apa yang dicintainya.
Kita mahukan cinta manusia, tetapi kita mengabaikan Pemberi dan Pemilik Asal Cinta iaitu Allah.
Kita mahukan manusia, tetapi kita tidak meminta kepada Pemilik Hati manusia iaitu Allah.
Mungkin sudah sampai masanya kita ingatkan diri kita tentang satu perkara iaitu:
"Tempat Asal Cinta ialah Allah."
"...cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap manusia. Ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Cuma tanahnyalah yang berlain-lain menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus, tumbuhlah oleh kerana embun itu kedurjanaan, kedustaan, penipu, langkah seorang dan lain-lain perangai yang tercela.
Tetapi
Jika ia jatuh kepada tanah subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan. setia, budi pekerti yang tinggi, dan lain-lain perangai yang terpuji."
- Di Bawah Lindungan Ka'bah ,1938-
Gadis Sneakers
